(PERBINCANGAN KHUSUS MENGENAI NEGERI KELANTAN D.N.)
Oleh: Abu Madyan
Mengapa Kerajaan Persekutuan Mesti Mengembalikan Royalti kepada Kerajaan Negeri?
1. Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak pada 12hb., November, 1975 (berdasarkan hansard soal jawab Parlimen) ketika menjawab soalan di Parlimen menjelaskan bahawa mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima 5% secara tunai daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.
2. Perjanjian yang telah ditandatangani pada 1975 antara Menteri-menteri Besar bagi negeri-negeri di Semenanjung dengan Pengerusi PETRONAS ( ketika itu YM Tengku Razaleigh Hamzah) untuk memberi 5% royaltI kepada negeri-negeri berkaitan masih sah - Perjanjian ini telah mengikat kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti kepada kerajaan Kelantan (Perjanjian tersebut telah ditandatangani Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohammad Nasir) sebanyak 5% setahun dan dibayar tunai dua kali setahun. Perjanjian ini tidak pernah dibatalkan. (Berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar dalam bentuk royalti kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dan negeri Trengganu ianya telah diberikan mulai 1978 sehinggalah ianya ditukar kepada ‘Wang Ehsan’ pada tahun 2000 apabila PAS mula memerintah Trengganu dan diteruskan hingga kini oleh kerana permasaalah dan pertikaian dalaman UMNO).
3. Akta Kemajuan Petroleum 1974 seksyen 4 telah menetapkan supaya Perbadanan (PETRONAS) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak bagi negeri tersebut. Berasaskan peruntukan ini, penganugerahan wang tunai kepada negeri-negeri yang perairannya mempunyai minyak telah dibuat sejak dahulu.
4. Berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri mempunyai hak zon eksklusif ekonomi menjangkau jarak 200 batu nautikal. Dalam hal ini pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan. (Kenyataan yang menyatakan jarak tiga batu nautikal adalah tidak bersesuaian (relevan) dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti, kerana Akta Dharurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud).
Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika. Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di Perairan Laut China Selantan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan antara Petronas dengan kerajaan Thailand di Laut China Selatan / Teluk Siam.
5. Pembayaran yang sepatutnya adalah royalti dan bukan wang ihsan. Perjanjian pada 1975 itu menyebut pembayaran wang tunai dan bukan wang ihsan. Wang ihsan dan royalti adalah berbeza kerana wang ihsan memberi makna pemberian simpati sedang wang royalti adalah wang yang mesti dibayar hasil daripada perjanjian dan perundingan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Wang royalti hendaklah dibayar kepada kerajaan yang mentadbir secara sah di sesebuah negeri berkenaan. Sebaliknya, pembayaran wang ihsan kepada jabatan persekutuan yang beroperasi di negeri akan membuka peluang kepada pembaziran, pertindihan dan penggunaan wang secara tidak optimum kerana perancangan dan pembangunan untuk rakyat di negeri adalah dipimpin oleh kerajaan negeri.
6. Kerajaan Persekutuan mestilah secara adil menegakkan dan mengamalkan konsep atau semangat federalisma (Persekutuan) kepada semua negeri di Malaysia. Konsep federalisma menekankan kepentingan hubungan yang harmoni dan berkesan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri setelah bidang kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri ditetapkan dalam perlembagaan negara.
Dalam amalan federalisma, negeri yang berada dalam persekutuan diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan. Melalui perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan.
Dalam konteks ini, pemberian wang royalti oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah bukti konsep federalisma ditegakkan, kerana kerajaan negeri berhak untuk merancang dan menentukan penggunaan wang royalti untuk kepentingan rakyat negeri berdasarkan bidang kuasa negeri masing-masing.
Dengan fakta-fakta dan hujah-hujah diatas maka kerajaan pusat yang menolak pembayaran dalam bentuk royalti, tidak dapat dipertahankan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment